Sabtu, 26 Disember 2009

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak dan para guru. Sekali lagi berulang rutin untuk ibu bapa menguruskan anak-anak yang masih bersekolah. Apapun, itu adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan ikhlas dan penuh iltizam.

SELAMAT DATANG 2010


Alhamdulillah. Tahun baru akan menjelma tak berapa hari lagi. 2010 hadir dengan harapan dan iltizam jitu para guru untuk memartabatkan pendidikan anak didik mereka. Benarlah kata pepatah bahawa 'guru ibarat lilin yang membakar diri'. Segala usaha yang termampu oleh kudrat seorang manusia dilakukan demi untuk meningkatkan pencapaian anak didik mereka. Hatta, masa bersama keluarga tercinta juga sanggup dikesampingkan demi untuk melihat kejayaan dan kecemerlangan anak didik yang merupakan generasi pelapis pemangkin pembangunan insan dan kemajuan negara tercinta.



'Lilin Seorang Guru Tidak Akan Pernah Padam'Kini 2009 akan berlalu bersama seribu kenangan manis dan pahit. Segalanya tinggal sebagai sebuah sejarah yang akan terus terpahat utuh di hati. Bagi anak-anak didik pula, ingatlah bahawa masa tidak menunggu kita, sebaliknya kita harus tuntas mengejar masa. Banyak ilmu dan pengalaman harus ditimba sebagai persiapan untuk kehidupan yang lebih gemilang di masa hadapan. Cukuplah masa untuk leka bermain, bersantai dan menghadap peti televisyen, mendengar mp3 atau bermain playstation.



Bagi pelajar Tahun 6 sesi 2010, waktu untuk anda semua menumpukan seluruh usaha, masa dan tenaga telah bermula sekarang. Lengkapkanlah diri dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya dan ulangkaji pelajaran yang kurang mahir agar anda lebih bersedia untuk belajar di Tahun 6 nanti.Bagi semua pelajar Tahun 6 sesi 2009 yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam UPSR lalu dan berjaya ke SBP atau sekolah-sekolah cemerlang lain, janganlah leka dengan kejayaan yang telah diraih. Sebaliknya kekalkan dan tingkatkanlah usaha agar mengecap kejayaan yang lebih manis di tahun mendatang. Bagi pelajar yang kurang berjaya pula, usahlah bersedih dan hanyut dalam lautan kepiluan kerana ia hanya akan merosakkan diri sendiri sahaja. Sebaliknya, jadikanlah kegagalan ini sebagai langkah permulaan untuk mengorak kejayaan di hari muka. Kejayaan itu pastinya akan menjadi lebih manis sekiranya kita menerima ketentuan Allah swt dengan redha dan hati yang lapang. Ingatlah Firman Allah bahawa 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, kecuali kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubahnya'.



Terima kasih juga diucapkan kepada semua guru, staf non-akademik, AJK PIBG, para ibu bapa / penjaga pelajar-pelajar, organisasi dan orang perseorangan yang sentiasa bersama kami dan selalu memberikan kerjasama yang erat dan tidak berbelah-bagi dalam menjayakan semua program sekolah selama ini. Semoga jalinan kerjasama dan keprihatinan tuan puan akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi dalam menuju hasrat dan impian untuk meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah anak-anak tuan puan dan mencapai visi dan misi sekolah secara amnya.Selamat datang 2010.

KADAR BAYARAN TAMBAHAN SESI PERSEKOLAHAN 2010 DISERAGAMKAN

KUALA LUMPUR: Bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.
Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).
Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).
“Secara keseluruhan, kadar bayaran tambahan untuk persekolahan tahun depan lebih rendah berbanding tahun ini. Bayaran tambahan ini pada kadar minimum supaya tidak bebankan ibu bapa.
“Ia adalah untuk pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar dan dikutip pada awal sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.Bagaimanapun, Alimuddin berkata, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.
“Apabila kadarnya dipersetujui bersama pihak sekolah dan PIBG, ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing,” katanya.Bagaimanapun, pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.
Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50).Pakej A bagi ibu bapa yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, Pakej B untuk pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional serta Pakej C untuk petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya dihubungi ramai ibu bapa yang menyuarakan kegelisahan kerana belum mendapat maklumat berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan pada sesi persekolahan tahun depan.

MERRY CHRISTMAS !


Selamat menyambut hari Natal kepada semua warga sekolah yang beragama kristian. Semoga bergembira dan berbahagia selalu.