Rabu, 11 November 2009

Mesyuarat akhir tahun 2009

Bertempat di Makmal Komputer Pengarah Enteri telah berlangsung Mesyuarat Staf akhir 2009 yang melibatkan 3 bahagian iaitu Akademik, HEM dan Ko-urikulum. Mesyuarat telah di pengerusikan oleh Tuan Guru Besar En Paul Awan Ak Kuleng.



Beberapa agenda telah dibincangkan samada menilai kembali program2 yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2009 mahupun persediaan menjelang 2010.


Semoga kedatangan tahun 2010 memberi sinar dan rezeki kepada semua bagi memantapkan lagi bidang Akademik dan Kokurikulum di SKPN3 dan dan Melonjakkan Kecemerlangan dalam kedua-dua bidang, sesuai dengan motto sekolah 'Together Towards Excellent'.

Motivasi dan minat pengaruhi tindakan


MOTIVASI dan minat merupakan dua aspek ciri dalaman seseorang individu yang mampu mempengaruhi tindakan. Gabungan kedua-dua aspek ini membolehkan seseorang individu itu menghadapi cabaran dengan lebih berani, berkeyakinan dan bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun ciri-ciri dalaman ini bukanlah sahaja boleh dipupuk secara semulajadi tetapi harus mempunyai daya penggerak melalui rangsangan. Rangsangan inilah yang boleh menimbulkan minat, menggerakkan semangat dan menjana minda ke arah mencapai destinasi yang dihajati.


Dalam hal ini pelajar-pelajar harus mencari rangsangan tersebut yang boleh merupai nasihat, pengalaman, tontonan, lawatan sambil belajar, informasi, kursus atau penglibatan diri dalam satu-satu aktiviti penyuburan diri.


Bak kata pepatah Melayu ”tak kenal maka tak cinta” begitulah juga dengan perkara ini. sebagai contoh seseorang pelajar yang mengikuti taklimat tentang sesuatu bidang kerjaya melalui lawatan atau penglibatan secara langsung di lapangan akan mendapat maklumat secara lebih mendalam dengan merasai sendiri keseronokan bidang kerjaya tersebut.
Dengan itu besar kemungkinan akan mendatangkan kesan yang positif terhadap minat dan motivasi dirinya terhadap bidang kerjaya tersebut.


Oleh yang demikian pelajar seharusnya mengikuti pelbagai program yang mampu menimbulkan minat dan menggerak motivasi diri dalam penentuan masa hadapan pelajar. Dalam kursus-kursus atau kem motivasi yang menumpukan perhatian terhadap kemahiran belajar, kemahiran berkomunikasi dan pemilihan kerjaya, pelajar harus mengambil peluang untuk turut serta.
Penyertaan bukan sekadar memenuhi kehendak ibu bapa atau hanya untuk memenuhi masa lapang sahaja, tetapi perlu mempunyai matlamat dan penglibatan yang menyeluruh

Akademik atau sukan?



MUNGKIN telah tiba masanya untuk Kementerian Pelajaran untuk membangunkan kurikulum khas untuk pelajar yang ingin melibatkan diri dalam sukan secara serius dan profesional.

Bermula daripada darjah satu, ibu bapa atau penjaga yang mahukan anak mereka menjadi atlet cemerlang perlu memberi persetujuan secara bertulis untuk mengikuti program khas berkenaan. Ia juga sejajar dengan usaha mentransformasi sistem pendidikan negara agar tidak terlalu bberorientasikan pendidikan.

Pelajar yang mengikuti kurikulum itu tidak lagi perlu dibebani dengan pencapaian akademik. Penilaian mereka berdasarkan kecemerlangan dalam sukan yang mereka pilih dan sertai. Bukan lima A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi pingat emas dan piala kejuaraan.
Dengan ini, pelajar akan lebih fokus dalam latihan dan tidak lagi perlu mengulang kaji pelajaran selepas penat berlatih. Bagaimanapun pendidikan asas yang melibatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira tidak boleh diabaikan. Hal ini penting untuk mereka mengikuti perkembangan semasa dan menguruskan kewangan masing-masing apabila dewasa kelak.
Paling utama, kehadiran kumpulan pelajar khas ini akan memudahkan guru menyediakan pemain untuk menyertai sebarang pertandingan atau kejohanan sukan tanpa menjejaskan jadual waktu pelajar lain.

Perkara ini sering menjadi pertikaian dan dilema kepada guru kokurikulum khususnya ketika menjelang hari sukan atau pertandingan antara sekolah di peringkat zon, daerah mahupun negeri.

Dalam konteks ini, perlawanan hendaklah diadakan secara liga - bukan kalah mati. Pertambahan bilangan perlawanan akan meningkatkan kemahiran pelajar dalam sesuatu acara sukan tersebut. Jumlah kejohanan dan pertandingan sukan juga perlu diperbanyakkan untuk meningkatkan persaingan. selain itu, ia boleh dijadikan faktor pemilihan ke sekolah sukan, sekolah kluster dan sekolah berasrama penuh.

Kesinambungan ini penting sebagai galakan dan pendorong kepada ibu bapa agar memilih sukan untuk kerjaya anak mereka. Tambahan pula, kini sukan bukan sekadar satu permainan tetapi telah menjadi satu perniagaan.

Sukan menjanjikan pulangan yang lumayan. Lihat sahaja Christiano Ronaldo, Michael Schumacher dan Maria Sharapova (sekadar menyebut beberapa nama) yang cemerlang, ternama dan kaya-raya.
Pendapatan atlet ini dijana daripada hadiah kemenangan, penajaan dan yuran penampilan.
Kita juga ada bintang yang bergelar jaguh dan pemain nombor satu dunia, misalnya Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton).

Tanpa prejudis dan mempertikaikan keputusan akademik atlet-atlet ini, kita sebenarnya tidak pernah peduli dengan keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik mereka. Segalanya 'terlindung' di sebalik kegemilangan yang mereka capai setelah berusaha daripada usia muda.
Kejayaan yang sama pernah dirasai oleh anak-anak Sidek dalam badminton, Nurul Huda Abdullah dalam renang dan Shalin Zulkifli dalam bowling. Mereka ada satu persamaan - ibu bapa mereka memilih untuk melatih anak mereka untuk cemerlang dalam sukan sejak awal.

Ganjaran yang diterima oleh atlet ini juga bukan calang-calang. Sejak 2005, kerajaan memperkenalkan skim pencen untuk pemenang pingat Olimpik.
Pemenang pingat emas menerima RM3,000 setiap bulan, diikuti RM1,500 untuk perak dan RM1,000 gangsa.

Bagi skim insentif Olimpik pula, pemenang pingat emas Olimpik akan menerima habuan RM160,000, manakala pingat perak dan gangsa, menawarkan RM80,000 dan RM40,000 masing-masing.

Terkini kerajaan sedang mengkaji untuk memberi gaji bulanan kepada pemenang pingat Olimpik.

Kepada ibu bapa, kenali potensi anak dan buat pilihan yang tepat - akademik atau sukan?

SKPN3 bangga jadi ikon pendidikan yang terbaik

MELESTARIKAN impian menjadi sekolah cemerlang dan terbilang khususnya dalam menjadikan pelajaran dan ko kurikulum sebagai tunjang utama di sekolah adalah wahana unggul yang digalas penuh komitmen warga Sekolah Kebangsaan Pengarah Enteri (SKPNE).

Guru Besar, En Paul Awan Ak Kuleng, selalu mengingatkan murid-murid supaya mengutamakan pelajaran dan mempunyai cita-cita supaya dapat membangkitkan semangat untuk belajar. Katanya lagi, perbezaan antara individu hanyalah pendidikan, apa yang kita miliki sekarang dan akan datang iaitu ilmu. Ilmu penting dalam melahirkan insan yang berguna dari segi JERIS; jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Dengan bantuan dan sokongan daripada guru-guru, PIBG dan masyarakat ia menjadikan impian untuk melihat SKPN3 kearah lebih baik dari semasa ke semasa adalah realiti. Komitmen yang ditunjukkan oleh pihak pentadbir sekolah dan sokongan dari semua pihak terbukti bahawa SKPN3 sebuah sekolah yang bagus dari segi akademik dan kokurikulum. Diharap ianya berkekalan. Terima kasih